Lesen perniagaan tidak diperbaharui jika tandas kotor – Datuk Bandar

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Premis restoran dan kafe di bandar raya ini berisiko tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan jika gagal mencapai taraf empat bintang bagi kebersihan tandas bermula Januari tahun hadapan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata pemilik premis terbabit diberi masa sehingga hujung tahun ini bagi memastikan kebersihan tandas dinaik taraf.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memandang serius perkara tersebut dan sentiasa memastikan kebersihan tandas awam dijaga dengan baik.

“Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI melalui Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus meningkatkan aktiviti pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tandas awam di premis makanan mencapai tahap ‘Bersih, Menawan dan Wangi’ (BMW) selaras dengan seruan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kerjasama dan komitmen setiap pemilik premis restoran dan kedai makan amat diperlukan bagi meningkatkan tahap penarafan bintang daripada 3 bintang kepada 4 bintang dan seterusnya memenuhi kriteria BMW sebelum 31 Disember ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Jun di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya pemilik premis gagal untuk mematuhi arahan selepas amaran dikeluarkan.

“Alasan yang selalu mereka (pemilik/peniaga premis) beri kalau ditanya tentang tandas kotor ialah pengunjung ramai dan tiada masa untuk bersihkan.

“Sebelum tindakan MBI tidak perbaharui lesen, kita akan beri amaran terlebih dahulu dan beri peluang kepada mereka, jika masih berdegil dan sebagainya maka kita akan batalkan lesen,” katanya lagi.

Untuk rekod, jumlah bilangan restoran serta kafe dalam pentadbiran MBI adalah 2,847 premis dan kesemuanya mencapai tahap 100 peratus bagi kebersihan tandas tiga bintang dan ke atas.

Sehingga 26 Jun lalu, sebanyak 592 (66 peratus) daripada 897 tandas premis restoran dan kedai makan yang dinilai mencapai tahap empat bintang dan ke atas.

Sebanyak 288 tawaran kompaun bernilai RM67,500 telah dikeluarkan di bawah UUK 4(1) Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan 1981 atas pelbagai kesalahan termasuk kebersihan tandas awam.

#PerakKini #MBI #tandas #premis #restoran #kafe #Ipoh #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *