Kakak, adik lelaki lemas di kolam renang di Ipoh

Foto: Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Dua beradik ditemui lemas ketika berenang di sebuah kolam renang dalam insiden yang berlaku di sini, pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.10 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati dua adik beradik masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan lapan tahun itu lemas ketika berenang di kolam renang tersebut.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan kematian mereka disahkan oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua beradik itu pada hari ini mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas dalam air.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu mengabaikan, mendedahkan kanak-kanak dengan cara mungkin akan menyebabkanya mengalami kecederaan fizikal.

“Siasatan lanjut juga masih dijalankan sama ada kanak kanak tersebut pergi kolam renang dengan ibu bapa atau ada penjaga lain,” jelasnya.

Justeru, Yahaya menasihatkan orang awam terutama ibu bapa atau penjaga supaya tidak mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti yang mungkin mendatangkan bahaya untuk mengelakkan berlakunya tragedi tidak diingini.

#PerakKini #PDRM #dua #lemas #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *