Polis buru suspek ragut beg tangan wanita warga emas di Manjoi

Tangkap layar video tular kejadian penunggang motosikal meragut beg tangan wanita warga emas dalam kejadian di Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan, Ipoh pagi Sabtu lalu.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal disyaki meragut beg tangan seorang wanita warga emas di tepi Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan, di sini pagi Sabtu lalu.
Ini susulan video tular berdurasi 33 saat yang dimuat naik seorang pengguna laman sosial Twitter memaparkan satu kejadian ragut ke atas seorang wanita di tepi jalan yang telah mendapat perhatian umum.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata semakan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 25 Februari lalu kira-kira jam 9.39 pagi dan laporan berhubung insiden itu sudah dibuat mangsa wanita berusia 63 tahun pada hari yang sama.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu samun.
“Sewaktu kejadian, mangsa wanita sedang berjalan di tepi jalan sebelum didatangi seorang penunggang motosikal yang meragut beg tangan mangsa dari belakang.
“Antara barangan peribadi mangsa yang dilarikan suspek termasuklah wang tunai RM1,500, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.
Sehubungan itu, Yahaya berkata polis kini giat memburu suspek yang masih bebas.
“Kita menyeru kepada orang awam yang menyaksikan kejadian itu terutamanya pemandu dua buah kereta yang kelihatan mengejar suspek dalam video tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Beliau berkata kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor M Gopirajan di talian 016-327 8390 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
#PerakKini #PDRM #ragut #wanita #wargaemas #RBZ
