Kerajaan lulus peruntukan RM3.46 juta bagi enam projek naik taraf jalan, pasar di Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan memperuntukkan RM3.46 juta bagi enam projek naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam di kawasan Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata daripada jumlah itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM2.46 juta manakala bakinya adalah melalui peruntukan Ahli Parlimen di kawasan terbabit dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, antara infrastruktur awam yang dinaik taraf adalah Pasar Awam Kampung Simee; membina longkang baharu di Lorong Isaac, Buntong dan menggantikan salur air (gutter) di Dataran Niaga Taman Cempaka.

Tambahnya, selain itu kawasan lain yang turut dinaik taraf adalah pelebaran jalan di Persiaran Lapangan Siber 1, Bandar Seri Botani; Jalan Sungai Pari, Buntong dan kawasan Rumah Pangsa Taman Pertama (First Garden), Silibin.

“Penyaluran peruntukan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kualiti fasiliti awam sekitar Ipoh sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi demi manfaat penduduk setempat.

“Keseluruhan peruntukan naik taraf kemudahan awam dan infrastruktur ini adalah “performance-based budget” atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media di Pasar Awam Kampung Simee selepas mengadakan lawatan kerja di Ipoh pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata peruntukan tersebut sudah diluluskan dan projek-projek berkenaan dijangka akan bermula pada Julai ini.

“MBI akan melaksanakan kerja-kerja tersebut dengan segera yang secara tidak langsung memberi impak besar kepada kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan rakyat di sini,” ujarnya.

#PerakKini #KPKT #MBI #naiktaraf #selenggara #Ipoh #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *