Kilang kantoi proses pencuci pinggan tiruan diserbu KPDN

Foto Ihsan KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan sebuah kilang yang menjalankan proses pengeluaran produk pencuci pinggan berjenama yang disyaki tiruan di Kawasan Perindustrian Perpaduan di sini, pada Jumaat.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri Mohamed Aznanshah Khalid berkata serbuan yang dijalankan pada jam 12.30 tengah hari menerusi Ops Tiris itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan pasukan perisikan KPDN Perak selama seminggu.

Menurutnya, ketika serbuan, dua orang pekerja terdiri daripada seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 serta 36 tahun turut ditemui sedang asyik memproses produk tiruan tersebut.

“Hasil maklumat awal mendapati, kilang tersebut mula beroperasi sejak Oktober tahun lalu dan berupaya membuat pengeluaran produk berjenama ini dengan anggaran sebanyak 1,000 botol sehari.

“Produk itu dipasarkan kepada peruncit di sekitar negeri Perak dengan harga RM3 sebotol,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut turut menemui 8,419 botol berisi cecair pencuci pinggan berjenama tiruan, 6,000 liter Sabun atau cecair di dalam tangki, 5,200 botol kosong dan kotak yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.

“Kesemua barangan tersebut disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah sebanyak RM41,993,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

#PerakKini #KPDN #Perak #pencucipinggan #tiruan #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *