Kinta Riverwalk semakin ‘suram’
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pernah diberi jolokan I-City Ipoh satu ketika dahulu, Kinta Riverwalk (dulu dikenali sebagai Kinta Riverfront) dilihat agak sepi terutamanya pada hari biasa dan ketika cuaca hujan.
Produk pelancongan ini juga sudah bertukar pihak pengurusan beberapa kali dan tahun lalu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diberikan amanah serta tanggungjawab untuk mengawal selia kawasan berkenaan.
Tinjauan Perak Kini ke Kinta Riverwalk mendapati keadaan persekitaran terlalu sunyi kerana kurang didatangi pengunjung dan hanya muzik daripada permainan bermotor di kawasan itu yang kedengaran.
Jambatan ikonik yang sebelum ini diuar-uarkan berkonsepkan ‘glow in the dark’ dilihat sedikit gelap sewaktu merentasinya malah pencahayaan di sekitar kawasan itu amat suram.
Deretan kedai yang beroperasi juga dilihat kurang mendapat sambutan akibat kekurangan pengunjung yang singgah ke lokasi pelancongan tersebut.
Bagaimanapun, terima kasih kepada Amusement Park yang sedikit sebanyak membantu untuk menghidupkan suasana dengan menyediakan permainan bermotor berlampu dan bercahaya warna warni bagi menarik perhatian pengunjung.
Pekerja swasta, Anis Suraya Adwin, 23, yang merupakan salah seorang pengunjung berkata pencahayaan di kawasan itu perlu ditambah bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya juga melihat terdapat pokok besar yang tidak dicantas dahannya serta boleh mengundang bahaya kepada pengunjung yang lalu lalang di situ.
“Jadi, saya berharap kerja-kerja mencantas dahan pokok perlu dilaksanakan demi keselamatan pengunjung,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Robin Yap, 28, mencadangkan supaya lebih banyak aktiviti dijalankan bagi menghidupkan semula suasana di Kinta Riverwalk.
“Saya lihat semakin hari pengunjung kurang datang ke sini. Kadang-kadang waktu hujung minggu atau musim cuti pun tidak ramai orang. Kesian saya lihat peniaga di situ.
“Justeru, pihak yang berwajib perlu mencari faktor penarik supaya pengunjung singgah ke sini,” katanya.
#PerakKini #KintaRiverwalk #suram #sepi