Tembok, jalan retak undang bahaya kepada pelajar, pengguna sekitar jalan Lebuh Cator

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kira-kira 3,500 penduduk termasuk warga pendidik di sekitar jalan Lebuh Cator meluahkan rasa gusar terhadap keselamatan pelajar dan penduduk di situ berikutan tembok serta jalan yang mula retak dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Wakil penduduk, Datuk Anwar Hassan mendakwa perkara itu berpunca daripada kerja-kerja menanam kabel elektrik oleh pemaju sehingga menyebabkan struktur jalan di antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Kolej Vokasional Lebuh Cator, Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue dan Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, pelajar juga berdepan dengan risiko keselamatan kerana mereka sering menggunakan jalan berhampiran namun sehingga kini kerja-kerja itu masih belum siap sepenuhnya dan sesi persekolahan 2023 akan bermula pada minggu hadapan.

“Keadaan ini membahayakan kerana budak-budak (pelajar) selalu keluar melalui jalan ini.

“Bila ada antara mereka yang pergi bersukan, mereka akan pergi ke padang b (padang berhampiran) dan pada saya dari segi itu membahayakan mereka.

“Kalau jalan penuh sesak (pada waktu puncak) lagilah bahaya,” katanya

Dalam pada itu, Anwar mendakwa debu serta bunyi bising yang datang dari kerja-kerja pembinaan cuma 100 meter dari kawasan sekolah dan ini akan mengganggu konsentrasi pelajar.

“Malah, kerja pembinaan jalan yang jarak hanya 200 meter dari sekolah bagi menghubungkan kawasan kondominium baharu melanggar kesalahan,” dakwanya.

Anwar berkata, kerja-kerja meluaskan jalan itu turut menyebabkan tembok sekolah warisan iaitu SMK Anderson retak serta mendakwa keadaan itu boleh mengancam keselamatan pelajar yang menunggu ibu bapa atau bas sekolah di tepi tembok ketika waktu pulang.

Justeru, beliau berharap dapat mengadakan pertemuan bersama pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi menyelesaikan isu ini dengan segera.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata beliau sudah meminta Pegawai Kejuruteraan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengadakan sesi town hall bersama masyarakat setempat berhubung isu berkenaan.

“Kita akan bentangkan tentang jalan raya pada sesi town hall Isnin depan.

“Buat masa sekarang, kita melantik satu konsultan untuk buat seluruh jalan raya di Ipoh,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu tersebut.

Menurutnya, bandar raya Ipoh kini sedang pesat membangun dan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya perlu dinaik taraf selaras dengan perkembangan semasa.

“Dalam pembangunan strata berkembang, penduduk bertambah dan jalan raya perlu dinaik taraf,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata pihak kontraktor turut melantik pengawal untuk menjaga aliran trafik di jalan tersebut terutamanya pada waktu puncak.

“Sebagai langkah sementara pihak kontraktor melantik pengawal untuk menjaga aliran trafik setiap hari hanya pada waktu puncak,” ujarnya.

#PerakKini #MBI #LebuhCator #jalan #bahaya #trafik #sesak #RBZ

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *