1 maut, 3 cedera motosikal langgar ‘sekawan’ kerbau

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya gagal mengelak dan melanggar sekumpulan kerbau ketika melalui Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, Tapah Ahad lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Haddrie Naim Azmi, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa bersama tiga rakannya berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun masing-masing menunggang motosikal dari Kampung Gajah menuju ke Air Kuning.

Menurutnya, akibat keadaan jalan yang gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan, mangsa dan rakan-rakannya tidak dapat mengelak dan melanggar sekumpulan kerbau yang berada di kawasan terbabit.

“Salah seorang daripada penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala tiga rakannya yang cedera dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Yusri turut mengingatkan penternak haiwan supaya bertanggungjawab dengan tidak membiarkan haiwan ternakan jalan raya kerana boleh membahayakan orang ramai serta berisiko untuk kehilangan haiwan berkenaan.

“Pemilik haiwan ternakan yang didapati sengaja dan cuai melepaskan haiwan sehingga berlaku kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkaitan haiwan malah boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

#PerakKini #PDRM #kemalangan #maut #langgar #kerbau #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *