KPDN Perak rampas beg tangan, dompet, pakaian dalam lelaki disyaki jenama tiruan bernilai RM888,000

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail menunjukkan hasil rampasan barangan tiruan dalam serbuan di stor simpanan di Bandar Lahat Mines, di sini hari ini. Foto KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sejumlah 5,100 unit barangan seperti beg tangan, dompet dan pakaian dalam lelaki disyaki jenama tiruan terkenal yang dianggarkan bernilai RM888,000 dirampas menerusi serbuan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah rumah teres yang dijadikan stor simpanan barangan tersebut di Bandar Lahat Mines, di sini pada Isnin.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam serbuan pada jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan selepas Pasukan Risikan KPDN Perak memperolehi maklumat melalui tindakan uji beli yang dilakukan ke atas akaun sindiket itu yang membawa kepada penemuan lokasi stor simpanan barangan tersebut.

Katanya, kejayaan operasi ini adalah hasil risikan yang dijalankan secara dalam talian melalui platform jualan e-dagang ke atas akaun yang diwujudkan oleh sindiket ini yang bertujuan untuk menjual barangan tiruan.

“Sindiket ini disyaki menjual pelbagai jenis beg, dompet serta barangan kulit berjenama dan turut aktif mempromosi iklan jualan mereka melalui media sosial seperti Telegram, Facebook dan WeChat.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan melakukan jualan melalui platform e-dagang dan kebanyakan produk yang dijual diiklankan dengan ejaan jenama yang mengelirukan bertujuan mengaburi pihak berkuasa untuk mengesan penjualan barangan tiruan itu.

“Bagi mengaburi pengguna, gambar beberapa jenama dikaburkan sindiket dengan menyatakan produk adalah berkualiti tinggi atau kualiti premium serta dipercayai dijual dengan harga mencecah sehingga RM1,300,” katanya sewaktu sidang media di lokasi serbuan pada Khamis.

Kamalludin berkata hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan oleh wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati semua barangan tersebut disyaki tiruan.

“Kesemua barangan dirampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 888,000 iaitu jumlah tertinggi di Perak setakat ini membabitkan barangan tiruan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

#PerakKini #KPDN #barangantiruan #rampas #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *