KPKT bina PPR di Tambun, Lenggong, Teluk Intan bernilai RM308 juta, manfaat lebih 6,000 isi rumah
Menteri KPKT, Nga Kor Ming ketika sidang media pada Persidangan DUN di sini pada Isnin.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH –
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan tiga projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu yang bernilai RM308 juta di Perak.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata tiga lokasi terbabit adalah di Tambun, Lenggong dan Teluk Intan melibatkan pembinaan 1,200 buah rumah bertingkat dan teres yang bakal memanfaatkan 6,000 isi rumah.
Menurutnya, projek PPR Tambun dan Lenggong akan dibina di tanah milik kerajaan negeri manakala bagi Teluk Intan pula dibina di tapak milik Perbadanan Pr1ma Malaysia.
“Projek ini menyasarkan sebanyak 500 unit rumah bertingkat dengan kemudahan asas seperti lif, surau, tadika, taska, dewan/balai komuniti, kedai, gerai, bangunan utiliti, landskap dan kawasan lapang dengan anggaran kos RM140 juta. KPKT sedang mendapatkan pertimbangan dan kelulusan khas Kementerian Ekonomi (KE).
“Seterusnya, pembinaan 300 unit rumah teres akan dibina PPR Lenggong turut dilengkapi kemudahan asas dengan kos kira-kira RM72 juta.
“PPR Lenggong atau nama asalnya, PPR Perak sudah diluluskan dalam Rolling Pelan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan akan dilaksana secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Isnin.
Kor Ming berkata sebanyak 400 unit rumah teres akan dibina di bawah PPR Teluk Intan dengan anggaran kos RM96 juta yang turut dilengkapi kemudahan asas.
“Permohonan bagi pembinaan PPR Lenggong dan Teluk Intan kini dalam pertimbangan Notis Perubahan (NOC) oleh KE,” jelasnya.
Katanya, setakat ini di bawah RMKe-12, KPKT berjaya mencapai 52.38 peratus pembinaan PPR di seluruh negara.
#PerakKini #KPKT #PPR #RBZ