RUUSA Perak perlu contohi Kedah, Terengganu beri pengecualian caj dan lesen pengairan sawah, aktiviti bekalan makanan
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pembangkang mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) 2023 Perak mencontohi enakmen di Kedah dan Terengganu yang mengecualikan caj dan lesen terhadap pengairan sawah serta aktiviti bekalan makanan.
Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata pengecualian yang sepatutnya diberikan kepada pengusaha bekalan makanan, pesawah atau nelayan darat itu perlu dimasukkan dengan jelas dalam rang undang-undang tersebut.
Menurutnya, penggunaan air sawah ketika ini didapati melebihi 15,000 liter sehari dan boleh menyebabkan pertambahan kos kepada pesawah.
“Caj yang dikenakan itu sekurang-kurangnya paling tidak akan menaikkan harga padi. Harga beras yang kita (ada) sekarang, mahal, selain daripada membebankan pesawah.
“Jadi kita minta supaya dimansuhkan secara total (keseluruhan) dan dimasukkan dengan jelas dalam perlembagaan (RUU) itu, sepertimana di Kedah dan di Terengganu yang mengecualikan secara jelas dalam enakmen supaya tidak dikenakan sebarang caj terhadap pertanian,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol itu berkata demikian sewaktu sidang media yang diadakan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Ketika pembentangan RUU berkenaan, Mohamad Nizar memaklumkan Bahagian 5 di bawah perkara Penggunaan Sumber Air dan Pelesenan mengandungi peruntukan-peruntukan berhubung perkara penggunaan sumber air dan pelesenan.
Beliau menjelaskan antaranya adalah hak untuk menggunakan air tanpa lesen atau bayaran caj bagi maksud sara diri iaitu bagi penggunaan isi rumah (tidak melebihi 2,500 liter sehari bagi setiap seorang) dan bagi pertanian sara diri (tidak melebihi 15,000 liter sehari bagi setiap seorang) di bawah fasal 45, keperluan pemasangan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) pengendalian sukatan air di bawah fasal 46 dan, kuasa PBN untuk menetapkan caj, bayaran atau sumbangan bagi penggunaan sumber air di bawah fasal 47.
#PerakKini #RUUSA2023 #pembangkang #RBZ