Kuari runtuh: Bangkai jentera ditemui

Kenderaan polis membawa cebisan tulang yang ditemukan hari ini di lokasi dua pekerja kuari yang dikhuatiri tertimbus pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di Ipoh, Perak - Foto: BERNAMA
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan pencarian mangsa kedua yang dipercayai tertimbus di bawah timbunan batu berhampiran semasa kejadian di Kuari Danshak, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, kira-kira Mac lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan SAR yang diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak telah berjaya menemui bangkai jentera pengorek kaut (excavator) kira-kira jam 5 petang semalam.
“Penemuan rangka jentera pengorek kaut (excavator) yang disyaki dikendalikan mangsa kedua itu dipercayai tertimbus di bawah timbunan batu berhampiran semasa kejadian berlaku.
“Kini usaha terus dijalankan pasukan SAR di lokasi kejadian untuk mencari mangsa kedua dengan mengeluarkan bangkai jentera pengorek kaut (excavator) yang masih tertimbus di bawah timbunan batu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, pasukan SAR menemui serpihan jentera, cebisan tulang dan rangka manusia pada pagi semalam.
Cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemui itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tujuan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi pengesahan identiti mangsa.
Dalam kejadian 8 Mac lalu, dua pekerja kuari yang dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49 dipercayai tertimbus runtuhan batu tersebut.
#PerakKini #tertimbus #ditemui #kuariSimpangPulai
