Cebisan tulang manusia, stokin dan kasut ditemui di lokasi kuari runtuh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Cebisan tulang manusia, stokin dan kasut dipercayai milik mangsa kedua insiden kuari runtuh di  Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada Mac lalu ditemui petang tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata cebisan tulang manusia, stokin dan kasut itu ditemui pada bangkai jengkaut (excavator) yang masih tertimbus di bawah timbunan batu ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

“Ketua Polis Daerah Ipoh dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak berjaya menemui cebisan tulang manusia, stokin dan kasut dipercayai milik mangsa kedua daripada serpihan jengkaut yang masih tertimbus di bawah timbunan batu kira-kira jam 2.40 petang hari ini.

“Susulan itu, cebisan tulang manusia, stokin dan kasut tersebut di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi SAR dihentikan sementara pada jam 3 petang tadi selepas mendapat nasihat JMG Perak dengan mengambil kira risiko keselamatan di tempat kejadian akibat cuaca hujan lebat.

“Operasi SAR akan disambung semula esok untuk meneruskan pencarian mangsa kedua yang dipercayai terperangkap dalam serpihan jengkaut yang masih tertimbus di bawah timbunan batu itu,” katanya.

Dalam kejadian 8 Mac lalu, dua pekerja kuari yang dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49 dipercayai tertimbus runtuhan batu tersebut.

#PerakKini #tertimbus #ditemui #kuariSimpangPulaingPulai

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *