Lawatan Penanda Aras Zon Bebas Kenderaan Bandar Hilir, Melaka
BANDAR HILIR – Seramai 35 anggota delegasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) iaitu merupakan urusetia teknikal Ipoh Low Carbon Day telah mengadakan lawatan penanda aras ke Zon Bebas Kenderaan, Bandar Hilir, Melaka.
Delegasi ini diketuai oleh Puan Hajjah Saidatul Akma binti Jamaludin, Pengarah Kanan Kewangan, bersama-sama Encik Zulkefli bin Osman, Ketua Penolong Pengarah Perancangan Bandar.
Lawatan ini bertujuan untuk meneliti amalan terbaik dalam pelaksanaan inisiatif zon bebas kenderaan, yang merupakan sebahagian daripada usaha strategik ke arah pembangunan mampan dan sokongan terhadap agenda rendah karbon di Ipoh.
Semasa sesi lawatan, delegasi diberi taklimat oleh Encik Mohamad Zulikhram bin Zulibrahim, Penolong Pengarah Perancang Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Taklimat tersebut meliputi aspek perancangan, pelaksanaan, dan keberkesanan zon bebas kenderaan dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk dan menjana ekonomi pelancongan bandar.
Lawatan ini diharap dapat menyediakan pandangan bernilai kepada MBI dalam merangka strategi dan inisiatif inovatif untuk pembangunan bandar yang mesra alam dan berdaya tahan di masa hadapan.