Lebih 1,000 perangkap tikus dipasang sekitar premis milik MBI termasuk pasar awam, medan selera

Foto Majlis Bandaraya Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Unit Kawalan Vektor telah memasang 1,107 perangkap tikus di sekitar premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata sehingga Mei 2023, Unit Kawalan Vektor  memasang 747 perangkap dan menangkap serta melupuskan sebanyak 117 ekor tikus di sekitar bangunan milik MBI termasuk pasar-pasar awam dan medan selera.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan Kempen Kawalan Tikus di Pasar Besar Ipoh dari 6 hingga 21 Jun lalu, sebanyak 360 perangkap dipasang dan 91 ekor tikus ditangkap.

“Tujuan kempen ini dilaksanakan di pasar-pasar awam MBI adalah untuk mencegah penularan pelbagai jenis penyakit bawaan tikus seperti leptospirosis, hawar, tifus, jangkitan cacing dan pelbagai jenis virus serta bakteria

“Di samping itu, ia membantu mengurangkan masalah infestasi (urungan) tikus di kawasan PBT meliputi pasar awam dan medan selera.

“Pada masa sama, beberapa kajian turut dilaksanakan antaranya kajian indeks tikus, penilaian risiko persekitaran urungan tikus, Kajian KAP (Knowledge, Attitude & Practice) dalam kalangan peniaga serta merangka dan melaksanakan tindakan kawalan dan mitigasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kawalan Tikus di Pasar-Pasar Awam MBI 2023 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Rumaizi berkata punca utama masalah urungan tikus di pasar-pasar awam disebabkan sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan, lubang di persekitaran bangunan pasar, bekas-bekas penyimpanan polistirena atau kotak kadboard yang tidak bersih serta disimpan secara tidak teratur.

“Oleh itu, peniaga-peniaga pasar awam perlu memberi kerjasama dalam menangani masalah urungan tikus ini dari segi aspek pelupusan sisa jualan ikan, sayur dan buah-buahan dengan cara membuang sisa jualan ke dalam karung plastik sampah dan mengikatnya dengan sempurna sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang berpenutup.

“Kerjasama dan komitmen para peniaga bagi menjayakan kempen ini amat diperlukan dengan melaksanakan aktiviti pemasangan perangkap tikus yang dibekalkan dalam tempoh masa kempen serta sentiasa menjaga kebersihan persekitaran gerai pada setiap masa bagi membasmi urungan tikus di pasar-pasar awam,” jelasnya.

#PerakKini #MBI #KempenKawalanTikus #RBZ

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *