RM23,500 bantu mangsa ribut DUN Hulu Kinta

Muhamad Arafat (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut berhampiran Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sebanyak RM23,500 diperuntukan bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta pada Khamis lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, peruntukan RM500 itu adalah sumbangan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun dan Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta membabitkan 39 penerima.

Menurutnya, seramai 20 mangsa ribut yang layak serta memenuhi syarat ditetapkan turut menerima sumbangan RM200 dari Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.

“Kita akan bincang dengan Penghulu atau Ketua Kampung bagaimana kita nak bantu contohnya membekalkan barang (untuk membaiki rumah rosak) seperti atap. Jadi kita boleh bayar kepada pembekal untuk membekalkan atap. Atau ada yang sudah siap (baik pulih), jadi kita akan bincang cara bayar balik kos.

“Tapi jumlah itu tak pasti kerana kita akan adakan mesyuarat dengan pegawai daerah serta penghulu untuk ambil pandangan dan cadangan mereka apa yang perlu dilakukan dan berdasarkan itu kita akan beri sumbangan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Gotong-Royong Mega 1.0 dan Pelancaran One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Negeri Perak di Dewan Seri Delima, Kampung Tersusun Batu 5, Tambun di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian petang Khamis lalu, sebanyak 33 rumah dan enam gerai rosak akibat hujan lebat dan angin kencang yang berlarutan lebih dua jam di beberapa kawasan sekitar DUN Hulu Kinta.

Empat kawasan yang terjejas adalah Taman Mewah, Taman Perpaduan, Taman Saga dan Batu 5.

#PerakKini #DUNHuluKinta #bantuan #ribut #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *