Lelaki warga emas terbakar 90 peratus maut dalam kebakaran

Keadaan rumah yang marak dijilat api dalam kejadian kebakaran di Menglembu Barat, Menglembu, di sini awal pagi tadi. Foto: JBPM Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
Seorang lelaki warga emas maut selepas anggota badannya terbakar 90 peratus dalam kejadian kebakaran membabitkan dua buah rumah teres di Menglembu Barat, Menglembu awal pagi tadi.
Mangsa, Loo Kin Chan @ Loo Kok Chan, 79, ditemui meninggal dunia di dalam salah sebuah rumah tersebut manakala dua penghuni yang tinggal bersebelahan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian kebakaran rumah berkenaan kira-kira jam 5.24 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Balai Polis Menglembu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Puteh, sukarelawan bomba Menglembu dan Pekan Bahru serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kita mendapati terdapat dua buah rumah yang mengalami kebakaran dan ia dipercayai berpunca daripada rumah didiami mangsa meninggal dunia.
“Kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh lebih kurang satu jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan awal di lokasi mendapati kedua-dua rumah musnah 80 peratus.
“Pasukan penyelamat menemui seorang mangsa yang meninggal dunia akibat anggota badannya terbakar hampir 90 peratus.
“Punca kejadian masih disiasat pasukan siasatan Forensik JBPM Perak,” jelasnya.
#PerakKini #terbakar #PDRM #JBPM #Menglembu

