LONGKANG SEMPIT DI JALAN KELILING, TAMAN CANNING DIGANTI UNTUK ATASI BANJIR KILAT
IPOH: Penduduk di Taman Canning di Ipoh resah setiap kali hujan ekoran kediaman mereka akan dilanda banjir kilat.
Setiap kali banjir, rumah-rumah di Jalan Edward Moreira di taman terbabit akan teruk terjejas ekoran limpahan air dari longkang di Jalan Keliling masuk ke kediaman mereka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi Tsi Jen, punca banjir kilat di kawasan itu adalah kerana longkang yang sempit dibina sejak tahun 80-an.
“Longkang ini dibina sejak 40 tahun yang lalu sejak kawasan perumahan dibina.
“Reka bentuk nya sempit dan ada ‘bottleneck’ di beberapa tempat menyebabkan longkang tersebut tidak mampu untuk menampung kapasiti air sehingga menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan,” katanya.
Menurut Jenny, bagi mengatasi masalah tersebut, projek menaiktaraf laluan air di Jalan Keliling, Taman Canning dibuat dengan peruntuntukan RM200,000 diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Meninjau keadaan longkang di kawasan terbabit pada pagi Rabu, Jenny berkata, projek menaiktaraf itu melibatkan kerja-kerja menggantikan longkang.
Jelas beliau, longkang sedia ada bersaiz 1,800 milimeter (mm) x 1,200 mm akan diganti dengan dengan longkang yang lebih besar iaitu bersaiz 3,000 mm x 1,500 mm.
Selain itu katanya, sistem laluan air bawah tanah sepanjang 25 meter juga akan ditukar bersambung dengan sistem longkang baharu.
Jenny berkata, kerja-kerja menaik taraf terbabit yang dijadualkan bermula pada 3 Februari dijangka siap sepenuhnya pada 4 Mac depan.