Lori muatan kayu terbabas, pemandu dan kelindan cedera

Foto: LLM Infotrafik
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pemandu dan kelindan cedera apabila treler muatan kayu yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas sendiri di Kilometer (KM) 264.9 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 7.45 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan itu datang dari arah Terowong Menora menghala ke Ipoh yang bergerak menuruni bukit yang berselekoh.
“Treler itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sendiri ketika menuruni bukit sehingga menyebabkan kenderaan tersebut rosak di bahagian depan serta di bahagian kanan.
“Pemandu lelaki berusia 25 tahun dan kelindan lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan di dahi serta kening,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan kejadian itu menyebabkan kesesakan sejauh empat kilometer di sepanjang lebuh raya berkenaan.
#PerakKini #PDRM #kayujatuh #lebuhraya #PLUS
