Jumpa mayat reput berhampiran lokasi kereta terbabas

Keadaan di lokasi kejadian kereta terbabas dan penemuan mayat wanita reput di Jalan Besar Tambun pagi tadi. - Foto: BERNAMA

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis menemui mayat reput dipercayai seorang wanita hanya dua meter dari lokasi kejadian kereta terbabas di tepi longkang, berhampiran lampu isyarat Jalan Besar Tambun awal pagi Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata  pihaknya menerima maklumat mengenai satu kemalangan jalan raya di Jalan Besar Tambun kira-kira jam 5.25 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan pemandu seorang lelaki tempatan berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika pihak polis sedang menjalankan siasatan, satu mayat reput telah ditemui di dalam kawasan semak dengan jarak lebih kurang dua meter dari kereta yang terbabas.

“Mayat disyaki seorang wanita itu berada dalam keadaan berpakaian lengkap serta tiada kesan kecederaan ketara diperhatikan di atas tubuh badan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mayat itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital.

“Justeru, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Josin Amatin di talian 016-222 2491 untuk membantu siasatan,” katanya.

#PerakKini #mayatreput #keretaterbabas #Tambun

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *