MAJLIS BERKHATAN DAN PROGRAM KEMBALI KE SEKOLAH ERATKAN SILATURAHIM ANTARA KOMUNITI

CHEMOR- Program berkhatan beramai-ramai setiap kali musim cuti persekolahan menjadi satu acara mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat.

 

Di Klebang Restu, seramai 15 orang kanak-kanak menyertai program berkhatan serta seramai 120 orang kanak – kanak penerima program ‘Kembali ke Sekolah’ anjuran Masjid Jamek Medan Klebang Restu (MJMKR).

 

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abdul Rahman diiringi Pengerusi MJMKR, Mohd Khir Napiah, Penghulu Mukim Chemor, Ashraf Ali Anvar Deen serta Timbalan Ketua Balai Polis Chemor, Sarjan Mohd Safrizal Mohd Saad bertempat di Balai Lintang MJMKR pada Ahad ini.

 

Mazlan berkata,” Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi serta AJK Masjid kerana berjaya melaksanakan dua program yang bermanafaat kepada masyarakat kariah disini.

 

” Yang pertama program berkhatan dan yang kedua, program ‘Kembali ke Sekolah’ secara pemberian baucar melibatkan seramai 120 orang penerima.

 

“Anak-anak ini adalah aset kepada negara kita dan ucapan tahniah sekali lagi kerana berjaya mengimarahkan masjid ini untuk masyarakat setempat”, ujar beliau.

 

Pengerusi MJMKR, Khir berkata, program ini turut melibatkan agensi kerajaan seperti MaiPk, Majlis Bandaraya Ipoh, Pejabat Tanah Daerah, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tabung Haji, Institut Latihan Kesihatan ILKKM serta Ar Rahnu yang bersama-sama menjayakan program ini.

 

Majlis diserikan lagi dengan acara mengelilingi sekitar taman diiringi PDRM bersama motosikal berkuasa tinggi serta turut dimandikan air pancuran dari Jabatan Bomba bagi meraikan 15 kanak-kanak yang akan berkhatan.

 

Turut disediakan kaunter bergerak oleh agensi kerajaan agar dapat memudahkan komuniti setempat untuk melaksanakan pembayaran, pertanyaan serta ujian kesihatan secara percuma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *