MAQIS rampas pelbagai jenis ikan basah dari Indonesia

Oleh Rosdalilah Zahari

LUMUT – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perak merampas pelbagai jenis ikan basah seperti kerapu, merah, jenahak, tenggiri, kerisi, udang harimau dan udang galah yang cuba dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

Pengarah MAQIS Perak, Mohd Noor Hashim berkata, tindakan sebuah syarikat yang cuba membawa masuk pelbagai ikan basah seberat 230 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000 itu gagal selepas mereka ditahan di pintu masuk Pelabuhan Lumut.

Menurutnya, barangan itu dikesan ketika pihak MAQIS menjalankan pemeriksaan rutin bagi barangan import di pintu masuk.

“Sehubungan itu, MAQIS menegaskan supaya pemain industri sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katany dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Foto Ihsan MAQIS

Beliau berkata, perbuatan mengimport dagangan tanpa permit yang sah disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua- duanya sekali,”jelasnya.

Mohd Noor berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,”ujarnya.

#PerakKini #MAQIS #rampasan #ikan #udang #Indonesia #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *