Masalah banjir kilat yang ‘menghantui’ peniaga Bazar Ramadan Taman Perpaduan hampir 10 tahun lalu selesai

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Masalah banjir kilat yang ‘menghantui’ peniaga Bazar Ramadan Taman Perpaduan hampir 10 tahun lalu selesai apabila kerja-kerja menurap dan menaik taraf jalan di kawasan itu dilaksanakan baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu dan Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta (Payung), Jaafar Uthman berkata pihaknya mula mengelolakan bazar Ramadan tersebut sejak 2014 dan dari saat itu masalah banjir kilat sering berlaku terutamanya jika berlaku hujan lebat.

Menurutnya, masalah berkenaan kemudiannya dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad untuk kerja penurapan semula terutama di bahagian yang terjejas teruk akibat banjir kilat itu.

“Kalau hujan lebat air akan naik, ia macam banjir kilat. Kurang-Kurang dalam sejam atau setengah jam air baru surut balik. Jadi, peniaga perlu berniaga dalam keadaan air bertakung,” katanya.

Beliau ditemui ketika sidang media selepas Majlis Pembukaan Bazar Ramadan Taman Perpaduan, Ulu Kinta pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhamad Arafat memaklumkan kos keseluruhan menaik taraf tapak bazar itu membabitkan peruntukan sebanyak RM220,000 dan ia berjaya disiapkan sepenuhnya hanya dalam tempoh tiga hari sahaja.

“Sebelum ini, kita hanya memohon untuk menyelesaikan masalah membabitkan tempat yang terjejas teruk sahaja namun kerja penambahbaikan dilaksanakan di keseluruhan kawasan.

“Kerja-kerja tersebut segera dijalankan MBI dan Puncak Emas Infra Sdn Bhd selepas tinjauan dibuat dua minggu sebelum Ramadan,” jelasnya.

Katanya, seramai 140 orang peniaga bazar Ramadan dapat memanfaatkan kemudahan yang dinaik taraf itu.

#PerakKini #MBI #PEISB #Payung #masalah #banjir #bazarRamadan #TamanPerpaduan #UluKinta #selesai #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *