Murid reka cerita cubaan diculik dipercayai akibat pengaruh media sosial – Polis

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kes cubaan culik seorang murid perempuan berusia sembilan tahun yang didakwa berlaku di hadapan sebuah sekolah di Taman Pinji Mewah di sini, Jumaat lalu seperti yang tersebar di media sosial sejak kelmarin adalah rekaan kanak-kanak itu semata-mata.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata

cerita itu sengaja direka oleh kanak-kanak terbabit bagi melihat cara polis mengambil tindakan jika kes seperti itu berlaku.

Menurutnya, polis melalui pasukan siasatan khas yang ditubuhkan sudah merekodkan percakapan lima orang saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kita telah memanggil lima saksi iaitu rakan sekelas kanak-kanak terbabit, dua pengawal keselamatan dan pemandu van yang menghantar kanak-kanak itu.

“Selepas soal siasat dijalankan kita mendapati bahawa cerita atau laporan yang mengatakan kanak-kanak itu diculik adalah tidak benar.

“Kanak-Kanak itu telah mereka-reka cerita kepada ibunya kerana terpengaruh melihat video-video lama di luar negara seperti kanak-kanak ditangkap, diculik, menjual organ yang diviralkan dalam aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Selasa.

Mohd Yusri berkata kita sudah memanggil kanak-kanak itu dan bertanya apakah tujuannya melakukan perkara tersebut.

“Selepas ibunya membuat laporan polis pada Jumaat lalu, kita sudah memanggil kanak-kanak tersebut dan memberitahu yang dia mahu tengok cara bagaimana polis ambil tindakan dan menjalankan siasatan.

“Inilah hasil siasatan yang disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJ) Perak bahawa kanak-kanak berkenaan mereka-reka cerita,” jelasnya.

Beliau berkata siasatan masih diteruskan dan tindakan lanjut akan diambil bergantung pada hasil siasatan yang dijalankan.

Semalam, Polis Perak menubuhkan satu pasukan siasatan khas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta pihak sekolah terbabit bagi menyiasat kes tersebut dari pelbagai sudut.

Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik seorang pengguna di media sosial berhubung kejadian cubaan culik murid di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, ibu kepada kanak-kanak itu sudah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada jam 9.07 malam Jumaat lalu.

#PerakKini #PDRM #culik #kanakkanak #reka #Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *