Polis tumpaskan sindiket curi elektrik babit kerugian RM1.3 juta

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kegiatan curi elektrik terbesar di Perak membabitkan sebuah premis perniagaan sejuk beku di Hutan Melintang dengan anggaran kerugian RM1.3 juta akhirnya tumpas dalam satu serbuan yang dilakukan semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan itu dilakukan polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta dibantu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, premis berkenaan dipercayai menggunakan elektrik secara haram melalui penyambungan dan pengubahsuaian wayar di bilik pencawang elektrik TNB.
“Semasa serbuan didapati terdapat pintasan pada litar arus pendua S1 dan S2 bagi ketiga-tiga fasa pada terminal alat ubah menggunakan wayar asing.
“Hasil serbuan ini turut mendapati pihak TNB mengalami kerugian sebanyak RM1.3 juta sejak tahun 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini petang tadi.
Mohd Yusri berkata melalui serbuan itu mereka berjaya menahan penyelia kilang terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang turut direman selama empat hari.
“Dalam serbuan sama, kita menahan seramai 57 orang warganegara asing lelaki serta wanita terdiri daripada 45 warga Myanmar, lapan warga Indonesia, Vietnam (3) dan Bangladesh (1) dan kesemia mereka direman 14 hari sehingga 10 Oktober ini.
“Kesemua warganegara asing itu ditahan atas kesalahan di bawah 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa premis berkenaan dipercayai menggunakan elektrik secara haram melalui pengubahsuaian di bilik pencawang TNB sejak enam tahun lalu.
Katanya, melalui penggunaan elektrik secara haram oleh premis berkenaan hanya membayar RM15,000 sahaja sebulan sedangkan bil sebenar adalah RM90,000.
“Kilang ini juga pernah dikompaun sebanyak lima kali dengan nilai RM20,000 setiap satu.
“Justeru, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
#PerakKini #PDRM #TNB #curielektrik #HutanMelintang
