PERMIT PENJAJA RM10 SEHARI
Oleh Norsharuddin Sapian
SERI MANJUNG: Bagi membantu penjaja kecil menjalankan perniagaan secara sah di daerah ini, pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sedia mengeluarkan Permit Penjaja Sementara Harian (PPSH) kepada mereka yang melakukan aktiviti perniagaan secara harian dan sementara dengan kadar bayaran yang rendah.
Berikutan itu, MPM giat menjalankan majlis penerangan kepada golongan peniaga berkaitan dengan kaedah pengeluaran PPSH di sekitar daerah ini.
Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, permit itu bertujuan membantu dan memudahkan golongan penjaja melakukan aktiviti perniagaan secara harian dan sementara dengan kadar bayaran serendah RM10 bagi setiap hari.
“Bagaimanapun permit tersebut hanya diberikan terhad kepada penjaja makanan, minuman dan buah-buahan sahaja.
“Mereka hanya dikenakan bayaran serendah RM10 sehari bagi setiap hari mereka beroperasi di tempat yang dibenarkan pihak MPM,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan peniaga kecil tersebut mendapat maklumat yang jelas berkaitan dengan PPSH, pihaknya telah mengadakan beberapa siri penerangan iaitu di tapak perniagaan hadapan Pasar Raya Sakan, sekitar kawasan Public Bank, tepi jalan Manjung Point, Pusat Perniagaan Manjung Point 3 dan tapak pasar malam berhampiran Pasar Raya TF-Value Mart, Seri Manjung.
PPSH 2020 itu mula diperkenalkan sejak 21 Mei lalu dan peniaga boleh memohon permit sementara berkenaan dengan mengisi borang di laman sesawang https://forms.gle/HZuBbM5RoZVNcyHfA serta membuat pembayaran menerusi perbankan Internet.
“Permit tersebut hanya sahlaku pada satu lokasi perniagaan sahaja dan mereka perlu melakukan pembayaran permit dan mengisi borang permohonan pada setiap hari aktiviti perniagaan dijalankan.
“Sekiranya mereka melakukan aktiviti perniagaan tanpa permit, lesen atau kebenaran dari pihak MPM, peniaga boleh dikenakan tindakan kompaun atau denda atau hukuman undang-undang,” katanya.