Pelajar USAS maut selepas lemas di air terjun Batu Hampar

Foto Ihsan JBPM Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
KUALA KANGSAR – Seorang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) maut selepas dipercayai lemas di Air Terjun Batu Hampar dekat Padang Rengas pada pagi Rabu.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Arif Arsyad Md Salleh, 23, bersama 10 rakan lain pergi ke kawasan rekreasi itu untuk berkelah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu kira-kira jam 11.19 pagi tadi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu anggota bomba segera ke lokasi dan mendapati seorang mangsa dipercayai lemas.
“Kita dimaklumkan seramai 11 orang pelajar datang berkelah di kawasan air terjun dan salah seorang mangsa dipercayai lemas di air terjun sekitar 20 minit sebelum ketibaan pihak bomba ke lokasi kejadian, mangsa dibawa naik oleh rakan-rakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, anggota bomba melakukan teknik CPR (resusitasi kardiopulmonari) ke atas mangsa dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulan untuk tindakan lanjut.
Katanya mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.43 tengah hari.
#PerakKini #USAS #lemas #AirTerjunBatuHampar #KualaKangsar #RBZ
