Polis giat buru lelaki disyaki cabul wanita dalam bas ekspres

Oleh Rosdalilah Zahari
GERIK – Seorang lelaki diburu polis selepas disyaki mencabul seorang penumpang wanita di dalam sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari Seri Iskandar, Perak ke Tanah Merah, Kelantan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang kelmarin.
Menurutnya, mangsa berusia 22 tahun itu mendakwa diraba seorang lelaki dipercayai dalam lingkungan 20-an yang duduk di kerusi belakangnya.
“Kejadian berlaku sewaktu mangsa sedang tidur dan selepas menyedari dia diraba, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Banggol Judah, Kelantan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku sewaktu bas ekpres tersebut berada berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, Gerik, di sini,” katanya kepada dalam satu kenyataan pada Khamis.
Susulan kejadian itu, Zulkifli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-791 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
#PerakKini #PDRM #cabul #wanita #basekspres #RBZ
