Pelanggan ‘dipaksa’ beli gula premium sebelum dibenarkan membeli gula kasar

Foto Ihsan KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

BATU GAJAH – Gara-gara menjual gula kasar secara bersyarat kepada pelanggan, sebuah premis perniagaan diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, di sini, semalam.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata pihaknya berjaya membongkar taktik penjualan bersyarat itu menerusi operasi penyamaran penguat kuasa KPDN yang bertindak melakukan uji beli di premis perniagaan tersebut.

Menurutnya, penyamaran tersebut dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang awam berkaitan penjualan barang kawalan gula bersyarat, iaitu perlu membeli gula putih jernih berharga RM4.50 sebelum dibenarkan membeli gula kasar dengan harga RM2.85.

“Serbuan jam 1.30 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak.

“Melalui uji beli yang dijalankan, kita mendapati aduan yang dilaporkan tepat dan pemeriksaan lanjut menemukan notis yang diletakkan di kotak dan digantung di rak jualan dengan menyatakan syarat pembelian tersebut.

“Sebanyak 100 kilogram (kg) gula kasar, 74kg gula putih jernih dan dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM620.85 disita dalam serbuan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata satu kesalahan disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 berkaitan penjualan bersyarat barang kawalan oleh seorang peniaga iaitu seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis.

“Sehubungan itu, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

#PerakKini #KPDNPerak #rampas #gula #BatuGajah #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *