Bekas pengurus restoran dakwa rugi RM500,000 diperdaya Datuk palsu

Fong (kanan) bersama Yee menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas Datuk palsu terbabit.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang bekas pengurus restoran mendakwa kerugian RM500,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang berstatus ‘Datuk’ untuk melabur dalam satu projek servis kesihatan yang tidak wujud.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Fong, 54, mendakwa dia mula berkenalan dengan Datuk itu antara Julai hingga Ogos pada tahun 2017.

Menurutnya, lelaki berusia 58 tahun itu mempelawanya untuk membuat satu pelaburan dalam projek servis kesihatan yang menawarkan perkhidmatan penjagaan melibatkan orang-orang tua, wanita baru bersalin dan pesakit yang baru menjalani pembedahan.

“Oleh kerana projek itu masih dalam peringkat permulaan, lelaki itu (Datuk) meminta supaya syarikat kami memasukkan wang pelaburan tersebut ke dalam akaun peribadinya dan berjanji untuk memegang amanah wang pelaburan tersebut.

“Pada masa sama, dia (Datuk) memberi jaminan syarikat kami akan menjalankan perkhidmatan katering dalam projek tersebut,” katanya ketika ditemui di Taman Perpaduan pada Jumaat.

Fong berkata syarikatnya membuat pemindahan wang sebanyak dua kali pada 10 dan 11 Ogos 2017 ke dalam akaun Datuk tersebut.

Katanya, selepas menerima wang pelaburan itu, lelaki itu menubuhkan sebuah syarikat pelaburan untuk projek tersebut pada 21 Ogos 2017 dan menjadi salah seorang Pengarah dalam syarikat berkenaan.

“Syarikat itu mengeluarkan sesalinan prospektus untuk menarik lebih ramai pelabur. Selain itu, di dalam prospektus itu turut memaparkan gambar syarikat kami dan mengesahkan serta menyatakan syarikat kami sebagai rakan servis katering dalam projek tersebut, ” dakwanya.

Dia mendakwa syarikatnya menghantar surat dan emel kepada syarikat lelaki terbabit antara 15 hingga 24 Jun 2021 untuk mengetahui status pelaburan berkenaan.

“Selepas emel-emel tersebut dihantar, pengarah syarikat baru iaitu seorang wanita menghubungi syarikat kami memaklumkan Datuk terbabit sudah meletak jawatan pada 1 Ogos 2018.

“Lebih mengejutkan tiada sebarang rekod transaksi wang atau catatan yang menunjukkan bahawa Datuk itu ada memindahkan wang pelaburan syarikat kami ke dalam akaun syarikat mereka,” dakwanya lagi.

Sehubungan itu, dia membuat satu laporan polis di Balai Pasir Pinji pada 26 Ogos 2021 berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, Fong juga membuat laporan polis pada 24 Februari dan 19 Jun tahun ini di Balai Pekan Bharu apabila mengetahui lelaki terbabit menggunakan gelaran Datuk palsu.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera ke atas Datuk palsu ini supaya tidak ada orang lain akan terpedaya pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengurus yang ingin dikenali sebagai Yee, 65, turut mendakwa diperdaya lelaki sama.

Yee membuat laporan polis di Balai Pekan Bharu sebanyak dua kali pada 19 Oktober 2022 dan 13 Jun lalu kerana mengesyaki individu terbabit menggunakan gelaran Datuk palsu bagi tujuan menipu mangsa.

“Individu ini menggunakan gelaran Datuk dengan niat menipu pelabur, rakan niaga dan ahli lembaga pengarah sebuah syarikat yang wujud pada waktu itu.

“Selain daripada surat rasmi, dokumen perjanjian syarikat, invois dan baucer, individu terbabit turut mencetak gelaran Datuk di kad perniagaan dan buku cek.

“Dalam pada itu, individu ini banyak mengakibatkan masalah besar kepada pelabur, rakan niaga, ahli lembaga pengarah dan diri saya sendiri,” dakwanya.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan meneliti laporan polis yang dibuat ke atas individu terbabit sama ada dia benar-benar memalsukan gelaran Datuk bagi mengelakkan dia terus membuat penipuan terhadap orang lain.

#PerakKini #PDRM #tipu #Ipoh #RBZ

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *