Pemandu lori bawa muatan tong gas maut

Foto Ihsan Polis Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang pemandu lori yang membawa muatan tong gas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 32 Jalan Teluk Intan – Sitiawan dekat sini pada petang Isnin.

Dalam kejadian pada jam 1.45 petang itu, pemandu lori jenis Mitsubishi Fuso yang berusia 32 tahun maut di tempat kejadian manakala pemandu lori jenis Isuzu berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kemalangan itu dipercayai berlaku sewaktu kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Teluk Intan menuju ke Sitiawan.

“Ketika melalui lokasi kejadian, pemandu lori Mitsubishi Fuso dipercayai hilang kawalan lalu melanggar belakang lori jenis Isuzu dan terbalik ke bahu jalan sebelah kiri.

“Manakala, lori jenis Isuzu pula berpusing dan terbabas ke bahu jalan sebelah kanan selepas dilanggar,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

               Foto Ihsan Bomba Perak

Menurutnya, ketika kejadian cuaca dalam keadaan baik bagaimanapun lokasi itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan polytrauma consistent with road traffic accident.

“Justeru, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di talian 014-679 0829 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika berada di jalan raya terutamanya kepada umat Islam yang berpuasa untuk mendapatkan rehat secukupnya dan fokus ketika memandu.

#PerakKini #PDRM #kemalangan #lori #maut #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *