YDPA, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga pembaca berita terkenal, Allahyarham Raymond Goh

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga penyampai berita terkenal, Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi.

Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook hari ini berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Seri Paduka Baginda turut berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Jenazah penyampai berita Nightline, TV3, Allahyarham Raymond Goh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Beliau yang berusia 62 tahun meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya, pada jam 10.43 pagi tadi.

Allahyarham berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital berkenaan pada 30 Ogos lalu.

Beliau yang bertugas lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran memeluk agama Islam pada 31 Mac 2003.

#PerakKini #TV3 #RaymondGoh #meninggaldunia #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *