Selepas 44 tahun, Pasukan Gerakan Udara PDRM lahirkan 4 juruterbang wanita pertama

Nur Hidayah (dua kiri) menunjukkan Anugerah Pelatih Penerbangan Terbaik yang diterimanya bersama tiga lagi juruterbang wanita pertama yang berjaya menamatkan kursus PPL bagi No 19 Siri 01/2021.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Empat pegawai polis berpangkat Inspektor memahat sejarah tersendiri apabila berjaya menjadi juruterbang wanita pertama bagi Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak ditubuhkan pada 1979.
Mereka adalah Inspektor Nur Hidayah Mohd Aisa, 33; Inspektor Yeoh Yee Chee, 31; Inspektor Wan Aulia Hami Fariheen Wan Azulkefeli, 31 dan Inspektor Siti Nabila Abdullah, 33.
Kesemua mereka dianugerahkan lencana sayap juruterbang oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay selepas berjaya menamatkan Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) bagi No 19 Siri 01/2021 bagi tempoh kursus selama setahun enam bulan.
Penerima Anugerah Pelatih Penerbangan Terbaik, Nur Hidayah berkata sebagai juruterbang wanita pertama di PGU, beliau perlu membuktikan kebolehan setanding dengan pelatih lelaki daripada segi akademik dan penerbangan.
Menurutnya, selepas pengambilan pertama untuk juruterbang wanita dibuka beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertainya.
“Sepanjang latihan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM, PGU, jurulatih dan rakan pelatih kerana telah beri kerjasama dan tunjuk ajar yang baik sepanjang latihan dijalankan.
“Malah, saya bersyukur kerana ahli keluarga amat menyokong saya kerana mereka tahu saya suka cuba sesuatu yang baru,” katanya yang pernah bertugas di Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit, Sarawak.
Beliau ditemui sewaktu perasmian Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara Ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Isnin.
Seorang lagi juruterbang wanita yang berjaya menamatkan kursus, Yee Chee berkata sepanjang mengikuti kursus yang dijalankan, cabaran paling getir ketika mengendalikan penerbangan secara solo.
Sementara itu, Komander Pasukan Gerakan Udara, Datuk Noor Sham Md Jani berkata pihaknya memang menggalakkan wanita berkebolehan dan berkelayakan untuk menyertai PGU bagi memantapkan lagi keberkesanan operasi pasukan itu.
Katanya, empat pegawai wanita terbabit dipilih untuk menyertai kursus berkenaan selepas tapisan secara terperinci dilakukan ke atas 36 peserta.
“Kumpulan ini adalah yang pertama melibatkan juruterbang kapal terbang wanita dan enam lagi juruterbang wanita untuk helikopter pada bulan depan,” katanya.
#PerakKini #PDRM #PGU #juruterbangwanita #pertama #RBZ
