Penghantar makanan lelaki dicabul pelanggan lelaki
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan berdepan detik hitam apabila dicabul pelanggannya dalam kejadian di sebuah rumah di Sungkai, semalam.
Mangsa berusia 34 tahun itu dicabul seorang lelaki berusia 57 (suspek) yang bertindak memegang kemaluan dan mencium pipi mangsa ketika mangsa menghantar pesanan makanan ke rumah suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada mangsa berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam.
“Dalam kejadian itu, mangsa dicabul suspek dengan cara memegang kemaluan dan mencium pipi mangsa sewaktu mangsa menghantar pesanan makanan di rumah suspek di kawasan Sungkai, Tapah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan telah dijalankan dan tangkapan ke atas suspek dibuat pada hari yang sama jam 10.30 malam.
“Setelah selesai menjalankan siasatan, suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 25 Ogos jam 1 pagi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
#PerakKini #PDRM #penghantarmakanan #cabul #lelaki #RBZ