Perak bakal tutup semua pusat vaksin

Oleh Rosdalilah Zahari

MALIM NAWAR – Perak dijangka akan menutup semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada hujung Oktober berikutan kadar vaksin di negeri ini sudah mencapai 95 peratus bagi suntikan dos pertama.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, setakat ini sebanyak sembilan daripada 25 PPV sudah ditutup secara berperingkat mulai 16 September lalu.

Menurutnya, antara PPV yang sudah ditutup termasuklah Pinji Kinta (16 September), Dewan Serbaguna Seri Iskandar (1 Oktober), Dewan Serbaguna Gerik dan Dewan Bandaran Pengkalan Hulu (5 Oktober).

“Saya terlibat dengan Mesyuarat bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kebangsaan baru-baru ini dan mereka mengesyorkan agar PPV ditutup pada bulan ini.

“Maklumat yang kita dapat mungkin PPV terakhir yang akan ditutup adalah PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai anjuran Persatuan Rekreasi dan Riadah Anak Perak serta Kelab Belia Malim Nawar di Pondok Raidatul Muttaqin, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Akmal berkata walaupun PPV besar sudah ditutup, orang ramai masih boleh mendapatkan suntikan vaksinasi di hospital, Klinik Kesihatan kerajaan atau swasta.

“Apabila ditutup orang akan tertanya-tanya nak ke mana selepas ini (untuk dapatkan suntikan vaksin). Kita akan giatkan kempen outreach dan juga bagi mereka yang belum selesai dos pertama, mereka akan dipanggil untuk ke Klinik Kesihatan berdekatan.

“Bagi mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin, jangan risau, vaksinasi masih diteruskan tetapi bukan di PPV yang ditutup ataupun di Dewan Majlis Daerah.
“Mereka boleh dapatkan suntikan vaksinasi hospital, Klinik Kesihatan kerajaan atau swasta yang berdekatan,” ujarnya.

Beliau turut menasihati orang ramai yang masih belum menerima vaksinasi dan mempunyai kesedaran untuk berbuat demikian untuk ke PPV berhampiran dengan segera serta mendaftar melalui MySejahtera demi kebaikan semua pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *