IPOH — Beberapa cadangan penting demi kepentingan kontraktor negara telah dibangkitkan dalam sesi perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke kursus Sistem Hawa Dingin Dan Pengedaran Udara (M01) yang dianjurkan oleh Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak.
Majlis penutup serta penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Sr. Ahmad Farrin Mokhtar bertempat di PKMM Perak@Meru pada Khamis petang.

Turut mengiringi Pengarah CIDB Negeri Perak, Mohammad Farris Abdul Aziz, Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim serta Setiausaha Kehormat PKMM Perak, Mohamad Isa Yatim Mustafa.
Jamaludin berkata, peningkatan ketara dalam peruntukan pembangunan serta dana khusus bagi kontraktor kecil Bumiputera dalam Bajet 2026 disambut baik oleh pelaku industri pembinaan negara, namun ada seruan agar peruntukan tersebut benar-benar dilaksanakan dan dihabiskan sepenuhnya seperti yang diumumkan.

"Dalam perbincangan terkini, wakil persatuan kontraktor menyatakan peruntukan pembangunan dalam Bajet 2026 mencecah lebih RM80 bilion, berbanding kira-kira RM60 bilion pada fasa sebelumnya.
"Lebih penting lagi, dana khusus untuk kontraktor kecil meningkat kepada RM7 bilion, berbanding kira-kira RM4 bilion sebelum ini merupakan satu peningkatan yang memberi harapan baharu khususnya kepada kontraktor Bumiputera." katanya.

Mohamad Isa pula berkata, antara perkara utama yang dikemukakan adalah berkenaan 47 kod bidang dalam lesen CIDB yang tidak boleh ditambah melalui sistem Kursus Pengurusan Kontraktor (SKP), sebaliknya hanya boleh diperoleh dengan mengemukakan surat tawaran kerja.
Pembahagian kod tersebut adalah seperti berikut:
- B: 3 kod bidang
- CE: 25 kod bidang
- M: 16 kod bidang
- E: 3 kod bidang
Contohnya dalam kategori Kejuruteraan Awam (CE), kod seperti CE 30 (Kerja perstabilan tanah), CE 31, CE 32, CE 34, CE 40, CE 41, CE 42 dan CE 43 merupakan tajuk bidang wujud dalam sistem CIDB, tetapi tiada modul atau kursus khusus untuk mendapatkan kelayakan tersebut.
"Hanya kontraktor yang sudah menerima surat tawaran kerja boleh memohon tajuk tersebut ditambah ke dalam lesen mereka.

"Tajuk bidang ada, kursus tak ada dan bukan semua orang ada surat tawaran kerja. Jadi sama ada sediakan modul khusus untuk 47 kod ini, atau batalkan tajuk tersebut sehingga modul tersedia.
"Pihak persatuan meminta CIDB untuk mengkaji semula perkara ini supaya tidak berlaku ketidakpastian dalam pemberian kelayakan,"ujarnya.

Beliau turut menambah, terdapat satu lagi usul penting yang dibawa ialah memansuhkan sistem kenaikan kelas automatik mengikut tempoh masa kerana pada masa ini, kontraktor G1 yang berada dalam kelas tertentu beberapa tahun akan dinaikkan secara automatik ke G2, dan seterusnya sehingga G7.
"Biarlah kontraktor naik kelas mengikut kemampuan dan keperluan mereka. Jika mereka selesa dan mampu dalam kelas semasa, tak perlu dipaksa naik. Ini membebankan kontraktor kecil yang mungkin belum bersedia," katanya.
Pihak persatuan juga menyokong penyesuaian had nilai kerja (hard limit) bagi kelas G1 yang dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000, dan meminta penyesuaian yang serupa dikaji untuk kelas G2 hingga G7.

Selain itu, terdapat isu kelewatan dalam urusan pembaharuan dan pengeluaran lesen CIDB turut dibangkitkan supaya dipercepatkan demi kemudahan urusan kontraktor di lapangan.
Pihak CEO CIDB Malaysia telah menerima baik semua cadangan yang dikemukakan dan memberi jaminan bahawa perkara-perkara ini akan dibawa ke peringkat pengurusan untuk dikaji dan dipertimbangkan secara terperinci.
PKMM Perak turut berharap agar keputusan yang adil dan praktikal akan diperolehi demi kebaikan seluruh warga industri pembinaan negara.