PLASTIK MERAH BERISI DADAH

oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
BAGAN SERAI– Tindakan suspek membuang bungkusan plastik merah yang mengandungi dadah di kawasan rumput di susur keluar di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol, arah selatan, gagal mengelakkan dirinya dari ditahan sepasukan pihak polis, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dalam kejadian pada 29 Mei lalu, sekitar jam 4. 30 petang, suspek berusia lingkungan umur 30-an dan memandu kenderaan jenis BMW 325i Sports E90, dilihat menghentikan kenderaannya dilokasi.
Menurutnya suspek kemudiannya dilihat keluar dari kenderaan sambil memegang bungkusan plastik berwarna merah dalam keadaan mencurigakan.
” Terdahulu sepasukan anggota risikan dari cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bersama pasukan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak membuat pemantauan keatas suspek yang dikatakan berhubung kait kes pecah kedai di Taiping Mall pada 21 Mei lalu.
” Sebaik dihampiri dan anggota memperkenalkan diri,suspek bertindak membuang bungkusan plastik berwarna merah yang dipegangnya keatas rumput dilokasi.
” Suspek kemudiannya berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas beg sandang suspek menemui wang tunai berjumlah RM 12,000, seutas jam tangan berjenama Casio dan telefon bimbit.
” Pemeriksaan susulan keatas bungkusan plastik merah itu pula menemui enam peket plastik biru mengandungi 1,200 biji pil kuda dan dua peket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 59 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Kerian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Balai Polis Simpang Empat Semanggol diantara pemangku, Sarjan Azizi Abas dengan Sarjan Mejar V. Sureskumar.
Menurutnya lagi kesemua dadah yang dirampas ini bernilai pasaran RM 11,500 dan cuba dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur.
” Siasatan awal juga mendapati suspek memperolehi bekalan dadah ini dari negeri di Pantai Timur.
“Suspek bersama dadah yang dirampas telah di bawa ke IPD Kerian manakala wang tunai dan jam yang ditemui pula diserahkan kepada IPD Taiping berikutan ada hubung kait dengan kes pecah kedai di Taiping Mall.
“Suspek kini berada dalam siasatan pihak polis IPD Taiping dan akan dibawa ke IPD Kerian esok untuk siasatan dan permohonan reman,”katanya.
Tambahnya kes disasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
