Tindakan cekap anggota bomba berjaya selamatkan lelaki dari terjun jambatan

Foto: Ihsan JBPM
Oleh Rosdalilah Zahari
LUMUT – Tindakan cekap anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki terjun dari jambatan merintangi Sungai Sitiawan di Jalan Seri Manjung-Pantai Remis, pada Ahad.
Adegan memujuk selama 20 minit itu berlaku selepas mangsa dipercayai bertindak nekad untuk terjun dari jambatan itu ke dalam sungai.
Pegawai Bomba Kanan II Johari Tomin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.08 malam yang memaklumkan ada seorang lelaki duduk di atas jambatan merintangi Sungai Sitiawan di Jalan Seri Manjung-Pantai Remis.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.
“Sewaktu tiba di tempat kejadian, didapati seorang lelaki dalam lingkungan usia 30 tahun dipercayai cuba untuk terjun dari jambatan yang dianggarkan setinggi 20 meter itu,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba turut memujuk mangsa kira-kira 20 minit supaya dia tidak melakukan perkara itu.
“Kemudian, anggota bertindak pantas menarik lelaki itu dengan cara memeluknya dari belakang sebelum menurunkannya dari tembok jambatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.28 petang,” ujarnya.
#PerakKini #JBPM #selamatkan #terjun #jambatan #RBZ
