Polis tubuh pasukan siasatan khas susulan kes cubaan culik murid di Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis Perak sedang giat menjalankan siasatan berkaitan kes cubaan culik seorang murid di hadapan sebuah sekolah di Taman Pinji Mewah di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata susulan itu pihaknya menubuhkan satu pasukan siasatan khas dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta pihak sekolah terbabit bagi menyiasat kes tersebut dari pelbagai sudut.

“Pihak polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di samping bekerjasama dengan JPN dan pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah dan keselamatan sekolah.

“Ibu bapa diminta menghantar dan mengambil murid mengikut waktu ditetapkan dan memaklumkan kepada pihak sekolah jika mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut agar tidak menjejaskan siasatan yang dilakukan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri turut mengingatkan pihak sekolah supaya memastikan urusan menghantar dan mengambil murid hanya dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sah sahaja.

“Selain itu, kami telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh Perak,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad di talian 013-628 2176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. ,

Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik seorang pengguna di media sosial berhubung kejadian cubaan culik murid di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, ibu kepada kanak-kanak itu sudah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut pada Jumaat lalu jam 9.07 malam.

#PerakKini #PDRM #tular #culik #murid #sekolah #Ipoh

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *