42 kes buli direkodkan di sekolah di Perak bagi tempoh Januari hingga Julai

Mohd Yusri (tengah) selepas menghadiri program #Katakan Tidak Kepada Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, di sini awal pagi tadi.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kes buli di sekolah sekitar Perak meningkat kepada 42 kes bermula Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya dua kes direkodkan pada tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata data statistik yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan (JPN) itu menunjukkan peningkatan pada tahun ini kerana pada 2021 sekolah-sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

“Berikutan itu, program #Katakan Tidak Kepada Buli dilaksanakan bertujuan membendung kejadian buli dalam kalangan pelajar di asrama selain meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar sekiranya terlibat dalam kesalahan jenayah dan buli.

“Program ini dijalankan secara serentak di 12 sekolah berasrama serta 30 sekolah terdiri daripada sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan agama di sekitar Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program #Katakan Tidak Kepada Buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, di sini awal pagi tadi.

Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu kes dua pekerja kuari tertimbus dalam runtuhan batu di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada 8 Mac lalu Mohd Yusri berkata pihaknya sudah menerima sampel ujian asid deoksiribonukleik DNA daripada waris Itam Lasoh, 43, salah seorang daripada mangsa yang dipercayai terbabit dalam insiden itu.

“Kini kita menunggu sampel DNA daripada waris seorang lagi mangsa, Kheow Loo Siew Soon, 49, yang difahamkan kini berada di luar negara.

“Kita menunggu sampel daripada waris bagi kita memastikan adakah cebisan tulang yang dijumpai berpadanan dengan kedua-dua mangsa tersebut,” katanya.

Khamis lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Itam, 43, dan Kheow, 49, dihentikan selepas penemuan pakaian dan cebisan tulang manusia termasuk jengkaut kedua di lokasi kejadian.

Kesemua objek yang ditemui dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi proses bedah siasat dan ujian DNA bagi pengesahan identiti mangsa.

#PerakKini #buli #PDRM #JPN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *