CHEMOR — Program Kongsi Rezeki 2026 anjuran Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun di Cawangan Kampung Ulu Chemor berjalan lancar dan menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat.
Seramai 201 isi keluarga menerima sumbangan kotak makanan, manakala seorang penerima yang sangat memerlukan turut dihulurkan sumbangan kerusi roda bagi memudahkan urusan harian mereka.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Penaja Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun, Muhammad Fadhli Ismail bertempat di Dewan Anggerik Kampung Ulu Chemor pada pagi Sabtu.
Turut mengiringi Timbalan Ketua Penaja Parti Wawasan Bahagian Tambun, Faridzhul Anuar Baharuddin, Ketua Cawangan Penaja Ulu Chemor, Suhaizam Ali serta para tetamu jemputan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi pandangannya berkenaan isu situasi politik semasa negara serta peranan dan tanggungjawab Parti Wawasan Negara khususnya di negeri Perak.

Beliau juga turut menerangkan latar belakang, tujuan dan hala tuju parti berpandukan falsafah utama yang dibawa oleh Presiden Parti, YB Dato' Seri Hamzah Zainudin.
“Amal Makruf, Nahi Mungkar,”
“Enjoining Goods, Forbidding Evils.”
"Wawasan Negara akan terus menjadi jambatan yang menghubungkan dan menyatukan rakyat Malaysia, Insya-Allah," ujarnya.
Program hari ini mencatat kejayaan manis dengan penambahan seramai lebih 200 ahli baharu yang ingin bersama berjuang demi 'Agama, Bangsa dan Tanah Air' tercinta.

Fadhli turut menambah, usaha memperkenalkan Parti Wawasan Negara sedang giat dijalankan di seluruh kawasan Tambun, berikutan penamaan semula parti ini secara rasmi dan terkini seramai 1300 ahli aktif telah mendaftar secara rasmi.
"Perkembangan ini disambut baik berikutan kejayaan pada bulan Oktober tahun ini dengan secara spesifiknya di negeri Perak telah pun berjaya mengumpul ahli-ahli aktif hampir 12,000 orang.

"Ini merupakan satu kebanggaan besar untuk Parti Wawasan Negara dan kita yakin rakyat telah menerima kehadiran parti ini.
"Kita ingin menjadi jambatan penyatuan seluruh rakyat Malaysia dan berharap mesej ini akan terus disebarkan kepada segenap lapisan masyarakat.

"Parti Wawasan Negara ini adalah Parti Berwajah Malaysia dan bukan berasaskan satu kaum sahaja ia adalah parti yang mencerminkan wajah sebenar Malaysia, di mana semua bangsa boleh berdiri bersama, berganding bahu memastikan negara terus maju, harmoni dan aman untuk semua,"katanya lagi.