IPOH -Penyumbangan jaket hayat daripada Lions Club of Perak Silver State (LCPSS) dijangka dapat meningkatkan secara signifikan masa tindak balas pasukan penyelamat ketika menghadapi bencana banjir di negeri ini sekaligus mempercepatkan proses bantuan dan penyelamatan.
Majlis penyerahan jaket hayat telah diwakili oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Kol.(PA) Rohaizat Hadli yang disampaikan oleh District 308B2 Chairperson for Environment, Dr. Richard Ng bertempat di Ibu pejabat APM Perak pada petang Jumaat.

Turut hadir para penyumbang diantaranya Lions Club (LC) Kampar, LC Ipoh City, LC Sunway Damansara, LC Selangor Kingdom, LC Ipoh Sunway City, LC Ipoh Midtown, LC Ipoh Velocity serta para penderma individu daripada Lions Club.
Dr. Richard berkata, sebanyak 44 unit jaket hayat telah diserahkan pada hari ini dan turut berharap agar sumbangan sebegini akan terus berlanjutan.

"Jaket hayat adalah keperluan utama bagi memastikan keselamatan mereka, terutamanya dalam usaha menyediakan bantuan awal sekiranya berlaku kejadian banjir dan bukan sekadar peralatan biasa malah ianya adalah langkah penting untuk menyelamatkan nyawa.
" Saya juga ingin mengajak pihak lain untuk turut menyumbang keperluan lain seperti bekalan makanan kering, bagi membantu pegawai-pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjalankan tugas dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan lebih efisien dan lancar," ujarnya.

Rohaizat pula berkata, sumbangan sebegini bukan sahaja meningkatkan keupayaan dan semangat pasukan penyelamat, malah memberi manfaat langsung kepada mangsa yang terjejas.
"Pihak APM Perak telah memulakan persediaan menyeluruh sejak awal tahun ini bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

"Saya turut memuji sokongan padu daripada komuniti Perak yang sentiasa bersiap sedia untuk membantu, terutamanya ketika musim banjir serta pelbagai NGO turut tampil bekerjasama.
Selain itu, penubuhan Pasukan Bantuan Pertahanan Awam Tambahan juga memainkan peranan penting malah pasukan ini juga bertindak sebagai pasukan penyelamat awal yang berada di tengah-tengah komuniti, membolehkan mereka memberikan bantuan segera sebelum ketibaan pasukan utama APM.
"Dari segi keanggotaan, logistik dan aset, kita sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa. Kerjasama erat antara agensi, NGO dan komuniti adalah kunci utama untuk kita menghadapi sebarang kemungkinan bencana dengan lebih berkesan," tambahnya.