SURAT KURNIA DATO’ PERAK PALSU

IPOH, 28 Ogos — Surat ‘pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Perak’ yang tular di media sosial adalah palsu.
Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan surat tersebut yang menggunakan nama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri dan menafikan kandungannya.
Sehubungan itu, Ahmad Suaidi berkata pihaknya telah membuat laporan polis semalam supaya siasatan lanjut dijalankan.
Surat bertarikh 25 Ogos itu menyatakan bahawa penerima dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) Yang Amat Mulia Peringkat Pertama yang membawa gelaran Datuk.
Surat turut menyatakan majlis penganugerahan akan diadakan pada 25 Sept ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
— BERNAMA
