RADIO TV BATU KURAU PERTAHANKAN JATI DIRI WARGA MELAYU PATANI

RADIO TV BATU KURAU (RTVBK) adalah sebuah medium penyiaran yang menggunakan platform facebook live untuk mempromosikan bahasa Melayu Pattani. Bahasa Melayu Pattani adalah satu bahasa yang banyak diamalkan di banyak daerah di bahagian utara semenanjung seperti di Batu Kurau, Selama, Bukit Gantang, Gerik, Keroh, Lenggong di negeri Perak dan di Baling, Sik, Kuala Ketil, Pendang, Kuala Nerang dan beberapa daerah lain di negeri Kedah. Bahasa ini wujud sejak ratusan tahun dahulu apabila penghijrahan masyarakat Melayu di selatan Thailand (kebanyakkan di Pattani dan Yala) ke daerah-daerah yang disebutkan tadi.

RTVBK mengambil inisiatif ini untuk memperkenalkan dan mempromosikan bahasa ini kepada seluruh dunia. RTVBK boleh ditonton setiap hari antara jam 5 petang dan 8.30 malam dengan menampil 3 orang juruhebah iaitu DJ Barney, DJ Awang dan DJ Salim. Penggunaan 100% bahasa Melayu Pattani ini telah menarik perhatian warga Melayu Pattani yang berada di seluruh dunia dan juga tidak ketinggalan penonton dari negeri lainnya termasuk rakyat dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

“ Kami optimis untuk menjadikan platform facebook live ini bagi mempromosikan bahasa ibunda kami kepada orang luar selain kami bertujuan mempertahankan bahasa ini agar tidak pupus terutama kepada generasi muda sekarang,”

“ Saya dan krew lain termasuk juruhebah berkorban masa dan wang ringgit secara independent sejak beberapa tahun lalu bagi mencapai usaha itu. Dari follower 0, kami kini sudah diikuti oleh lebih 21,000 followers,” ujar Usu Azha Haji Hamzah, penerbit Radio TV Batu Kurau yang berpengalaman lebih 27 tahun dalam dunia kewartawanan tabloid dan pengarahan drama televisyen.

USU AZHA HAJI HAMZAH (Penerbit)

Apa yang menarik, semua krew dan juruhebah RTVBK bertugas secara sukarela tanpa dibayar gaji yang ke semuanya terdiri dari anak-anak jati dari Batu Kurau yang berkemahiran dalam bidang IT dan media.

Di RTVBK, selain segmen-segmen santai dan hiburan, stesen ini juga menyiarkan secara langsung beberapa program seperti Laporan Terkini, Laporan Isu Semasa dan juga Tazkirah Agama. Sesiapa yang berminat mengikuti siaran lansung RTVBK setiap hari bolehlah melayari halaman facebook Radio TV Batu Kurau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *