RM3.5 juta atasi banjir kilat di Kem PGA

Muhamad Arafat (kiri) ketika meninjau keadaan kolam tadahan yang semakin cetek di PLPGA Ulu Kinta pada Selasa.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kira-kira RM3.5 juta diperlukan untuk kerja-kerja naik taraf longkang sedia ada bagi mengatasi masalah banjir kilat yang melanda Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta di sini sejak beberapa tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, kejadian banjir kilat pada tahun ini adalah yang terburuk berlaku pada Februari dan 9 Jun lalu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, lantai di dewan utama rosak teruk sehingga RM300,000 terpaksa digunakan untuk membaiki kemudahan berkenaan.

“Hasil perbincangan bagi penyelesaian jangka panjang adalah membesarkan longkang sejauh satu kilometer melibatkan kos RM3.5 juta dan mengambil masa untuk menyiapkannya.

“Jadi pihak JPS (Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Perak) akan maklum cadangan pada PGA dan seterusnya PGA akan buat permohonan pada KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“InsyaALLAH saya sebagai wakil rakyat akan berhubung dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau kolam tadahan di PLPGA Ulu Kinta, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, bagi penyelesaian jangka masa pendek, kerja-kerja mendalamkan kolam tadahan akan dilakukan dua kali setahun sementara menunggu kelulusan projek naik taraf longkang tersebut.

Jelasnya, kolam tadahan itu menjadi cetek disebabkan kerja-kerja pembangunan yang sedang berjalan di kawasan berhampiran.

Katanya, sebanyak RM400,000 diperuntukan untuk kerja-kerja naik taraf kolam tadahan bagi mengekalkan kedalaman tiga meter supaya kejadian banjir kilat dapat dielakkan.

#PerakKini #PGA #banjirkilat #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *