SELAMATKAN 3 ANAK SAUDARA DARI TERBAKAR

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
PARIT BUNTAR– Tindakan berani dan pantas seoran bapa saudara berjaya menyelamatkan nyawa tiga beradik dari terbakar dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Sungai Labu Bawah, Tanjung Piandang, disini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 4.15 pagi, mangsa Osman Awee, 44, berkata dia yang sedang tidur diruang tamu rumah, terjaga berikutan terhidu bau asap.
Menurutnya tidak lama kemudian, dia terdengar suara jeritan anak saudara perempuan, Nur Amira Najwa Abd Jalil,15 yang sedang tidur di salah sebuah bilik tingkat atas rumah.


” Sebaik dengar jeritan itu saya lantas menaiki tingkat atas dan terkedu melihat api mula membakar biliknya.
” Tanpa berfikir panjang saya lantas naik keatas dan menyelamatkannya yang masih berada dalam keadaan ketakutan didalam bilik itu.
” Selepas itu saya segera mendapatkan dua lagi anak saudara iaitu Muhammad Danish Iskandar, 17 dan Muhammad Syafiq 16, yang tidur lena dibilik sebelah dan terus membawa mereka keluar dari rumah yang sedang terbakar melalui pintu belakang,” katanya ditemui media selepas menerima kunjungan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parit Buntar, Md Nayan Salleh.
Menurutnya lagi dia bersama tiga anak saudara hanya berputih mata melihat kejadian itu tanpa sempat berbuat apa-apa sehinggalah kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba sekitar 6.00 pagi tadi.
” Sewaktu kejadian ibu mereka iaitu kakak saya pergi berkerja.
” Susulan kejadian ini kami kini tinggal sehelai sepinggang dan kini menumpang sementara di sebuah rumah sewa disini dimana kami difahamkan sewanya dibiayai oleh pihak Baitulmal.
” Kejadian ini memberikan kesan mendalam pada kami sekeluarga berikutan ianya berlaku sewaktu kita sedang menyambut perayaan,” katanya.
Dalam pada itu Md Nayan yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian, berkata, terdahulu Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri telah hadir bersama beberapa pihak berkaitan dan telah menyampaikam bantuan awal iaitu bantuan Tabung Bencana Daerah berjumlah RM 2,000 kepada mangsa.
” Kami difahamkan kerajaan negeri juga akan membantu mendapatkan sebuah kediaman baru kepada keluarga ini di Bagan Tiang.
” Keprihatinan pihak kerajaan amat kami hargai manakala dari pihak Bersatu pula kami akan cuba mendapatkan bantuan dari sudut lain seperti kelengkapan dapur dan sebagainya sepanjang menduduki rumah sewa itu,”katanya yang turut menyampaikan sumbangan awal berbentuk wang tunai kepada mangsa

