Seleweng diesel untuk ‘kurang’ kos operasi perniagaan – KPDN Perak
Foto Ihsan KPDN Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan yang dijalankan sebuah stor simpanan di kawasan penyelenggaraan dan pembinaan jalan di Batu 20 Trong, pada Khamis.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri Mohamed Aznanshah Khalid berkata serbuan yang dijalankan pada jam 4 petang menerusi Ops Tiris itu melibatkan nilai rampasan berjumlah RM96,248.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 35 tahun turut ditahan di premis berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas premis telah menemui sebanyak 5,200 liter cecair yang disyaki minyak diesel disimpan di stor simpanan haram tersebut.
“Siasatan awal juga mendapati syarikat ini telah menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Sehubungan itu, semua barangan seperti minyak diesel, sebuah kenderaan lori dan beberapa peralatan serta dokumen turut disita,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar Beruas pada harga bersubsidi secara terus ke tangki asal kenderaan sebuah lori tanah secara berulang-ulang sehingga lapan kali sehari dengan anggaran sebanyak 600 liter sekali pembelian.
“Minyak diesel bersubsidi ini dipercayai telah diseleweng untuk kegunaan mesin dan jentera penyelenggaraan pembinaan jalan raya di kawasan tersebut untuk mengurangkan kos operasi perniagaan kerana harga yang lebih murah dari minyak diesel komersil,” jelasnya.
Mohamed Aznanshah berkata kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
#PerakKini #KPDN #seleweng #diesel #Trong #RBZ