Simpan lebih had, KPDN Perak sita 4,240 kg minyak masak

Foto Ihsan KPDN Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bertindak menyita 4,240 kilogram (kg) minyak masak dalam satu pemeriksaan di sebuah premis perniagaan borong di Kawasan Perindustian Ringan, Kinta Jaya di sini, semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata pemeriksaan melibatkan barang kawalan gula, minyak masak dan tepung gandum itu dijalankan sekitar jam 11.30 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mempunyai lesen Borong Control Supply Act (CSA) yang masih dalam tempoh sah.
“Premis tersebut juga mempunyai lesen runcit CSA gula, minyak masak dan tepung gandum yang masih dalam tempoh sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kuantiti simpanan mendapati premis tersebut menyimpan barang kawalan minyak masak pelbagai jenama iaitu sebanyak 14,740 kg melebihi had simpanan sepertimana had yang dibenarkan di dalam kedua-dua lesen Borong CSA.
“Premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata jumlah nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM16,224 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
#PerakKini #KPDNPerak #sita #minyak #RBZ
