Sorok 12,000 liter diesel dalam kilang proses batu kapur

Foto Ihsan KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Penemuan sebuah tangki skid yang mengandungi 12,000 liter minyak diesel di sebuah kilang memproses batu kapur di Kawasan Perindustrian Keramat Pulai Industrial di sini, semalam membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel di kawasan itu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak pada jam 12.10 tengah hari semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi Ops Tiris itu dilakukan bertujuan membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel di negeri ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti memproses batu

kapur dan terdapat sebuah skid tank berisi minyak diesel berada di dalam kawasan premis.

“Ketika pemeriksaan, seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun yang mengaku sebagai pengurus tapak gagal mengemukakan sebarang lesen @ permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta pegawai bertugas.

“Sehubungan itu, kesemua barangan seperti dokumen dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 12,000 liter telah disita dan lelaki tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM33,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

#PerakKini #KPDNPerak #sita #diesel #subsidi #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *