Suami isteri maut, tiga anak parah nahas kereta bertembung lori simen

Kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima sekeluarga yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 16.9 Jalan Raya Timur Barat Gerik Jeli pada Sabtu.
GERIK – Pasangan suami isteri maut manakala tiga anak mereka cedera parah dalam kejadian kemalangan membabitkan kereta dan treler muatan simen di Kilometer 16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini pada Sabtu.
Mangsa maut dikenali sebagai Mohamad Nasir, 41 dan isterinya Rohaya Harun,46 manakala tiga anak mereka yang cedera parah dikenali sebagai Mohamad Amir Zaqwan Mohamad Nasir, 14, Nur Auni Batrisya Mohamad Nasir, 12 dan Mohamad Zarith Mohamad Nasir, 7.
Kesemua ahli keluarga terbabit yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi itu dipercayai dalam perjalanan dari Gerik menuju ke Jeli.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.40 petang daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi pihaknya mendapati kereta terbabit dipandu oleh seorang lelaki bersama isterinya dan tiga anak (dua lelaki serta seorang perempuan.
“Setibanya di lokasi kejadian kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan serta bertembung dengan sebuah lori dari arah Jeli menghala ke Gerik.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta dan isteri cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga anak mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin di talian 013-448 7374.t
#PerakKini #kemalangan #maut #Myvi #lorisimen #RBZ
